Vaksin Penghapus Derita Covid-19

0
715

OLEH SAARANI VENGADESEN

PANDEMIK yang melanda pada permulaan dekad ini merupakan musibah terbesar yang telah mengubah struktur kehidupan manusia.  Kes harian yang masih melepasi paras 5000, kadar kematian yang tinggi, fasiliti Unit Rawatan Rapi (ICU) yang tidak mencukupi dan kawalan pergerakan yang dilanjutkan menimbulkan situasi yang semakin mengetirkan.

“Walaupun pelitup muka dan penjarakan sosial dibuktikan dapat mengurangkan jangkitan Covid-19 secara signifikan tetapi berapa lamakah kita boleh hidup secara terasing?” tanya Dr Sakinah Sulong, Pakar Perubatan Keluarga di webinar “Derita Akibat Covid-19” baru-baru ini.  Webinar itu adalah inisiatif Kempen #YakiniVaksin yang dianjurkan oleh The Petri Dish bersama Science Media Centre Malaysia untuk mengupas mitos dan salah faham yang menular tentang vaksin Covid-19. Kempen ini disokong oleh Duopharma Biotech Berhad, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat mereka.

Keadaan pandemik ini amat mencabar kerana rakyat Malaysia sudah biasa dengan budaya ziarah-menziarahi, kenduri-kendara dan sekarang semua orang sudah merindui detik riang gembira itu.

Ketika mengendalikan webinar tersebut, Dr Mahaletchumy Arujanan, Ketua Pengarang, The Petri Dish bertanya apakah jalan keluar untuk menamatkan pandemik ini. Ujar Dr Sakinah, jalan penyelesaian terbaik adalah vaksin. Vaksin amat diperlukan untuk mencegah jangkitan Covid-19 daripada terus merebak dan melindungi kumpulan berisiko tinggi.

Webinar itu turut disertai oleh selebriti tempatan Tiz Zaqyah, yang berkongsi pengalaman dijangkiti Covid-19. Tiz berkata dia berasa sangat tertekan apabila mengetahui dirinya dijangkiti Covid-19 kerana kedua-dua ibu bapanya adalah kontak rapat dan kemungkinan mereka juga dijangkiti amat tinggi. Walaupun Tiz tidak mempunyai sebarang simptom tetapi bimbang ekoran masih berisiko untuk virus itu merebak kepada ibu bapanya.

“Oleh sebab itu, selepas pulih daripada jangkitan Covid-19 saya mendaftar ibu bapa saya untuk divaksinasi. Kini mereka sudah selesai dos pertama dan saya berasa lega yang keluarga saya terlindung,” kata Tiz.

Tiz pula tidak sabar menunggu gilirannya untuk divaksinasikan tetapi dia perlu menunggu tiga bulan dari tarikh dia menjangkiti Covid-19. Ketika webinar ini, Tiz juga bertanya Dr Sakinah tentang tempoh tiga bulan itu. Dr Sakinah menjelaskan bahawa bekas pesakit Covid-19 boleh menunggu tiga bulan kerana badan mereka akan menghasilkan antibodi semulajadi untuk melawan virus. Oleh itu, peluang diberikan kepada orang yang belum dijangkiti terdahulu.

Dr Sakinah turut berkongsi pengalaman peritnya tentang kehilangan bapa mertuanya akibat Covid-19 baru–baru ini. “Saya telah kehilangan bapa mertua saya pada bulan Mei lalu akibat daripada kluster masjid Covid-19 dan arwah bapa mertua meninggal dunia pada hari temu janji vaksinasi dos pertamanya. Oleh itu, jika sesiapa di antara keluarga anda yang mendapat temu janji untuk vaksinasi, tolonglah bawa mereka supaya perasaan bersalah tidak menghantui kamu,” kongsi Dr Sakinah.

“Rakyat perlulah sedar bahawa Covid-19 yang kita alami pada hari ini adalah tidak sama dengan Covid-19 yang kita alami pada tahun lalu. Virus bermutasi dengan pantas dan semakin mengganas. Variant of Concern (VOC) dari United Kingdom (Alpha) dan India (Delta) amat membimbangkan kerana jika varian semakin mengganas maka bilangan pesakit yang perlu dimasukkan dalam hospital juga meningkat,” ujar Dr Sakinah. Risiko jangkitan Varian Alpha adalah 50% lebih tinggi dan Varian Delta boleh merebak 40% lagi cepat berbanding varian Alpha.

Walaubagaimanapun, vaksinasi dapat mengawal kadar jangkitan varian-varian baharu ini. Dr Sakinah merujuk kepada situasi di UK di mana di antara 806 pesakit yang dijangkiti dengan varian baharu, 507 adalah mereka yang tidak menerima vaksin dan hanya 84 pesakit yang terdiri daipada mereka telah menerima dua dos vaksin. Kadar jangkitan ini menunjukkan tahap keberkesanan vaksin.

Dr Sakinah dan Tiz bersetuju bahawa vaksin bukanlah pilihan peribadi lagi tetapi tangggungjawab sosial semua pihak. Walaupun vaksin tidak dapat mencegah jangkitan 100% tetapi ia dapat mengurangkan risiko dan komplikasi. Vaksin memberi perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 yang kritikal yang menyebabkan kegagalan organ dan sistem pernafasan.  Dr Sakinah berkata bahawa kebanyakan katil ICU buat masa ini digunakan untuk pesakit Covid-19, menyebabkan peluang pesakit bukan Covid-19 yang lain untuk menerima rawatan rapi lebih tipis. Petugas kesihatan menghadapi situasi yang rumit untuk memilih pesakit yang akan diberi katil ICU.

Tiz turut bersyukur dia sembuh dari Covid-19 tanpa perlu dimasukkan dalam hospital. Bukan semua pesakit Covid-19 memerlukan rawatan di hospital tetapi pesakit yang mempunyai simptom yang kritikal seperti kegagalan pernafasan perlu dimasukkan dalam hospital. Derita dan trauma jangkitan Covid-19 menyebabkan Tiz bertekad untuk divaksinasi.

Dr Sakinah juga menasihati rakyat supaya tidak mengambil mudah kesan Long Covid yang merupakan simpton susulan selepas pulih dari jangkitan Covid-19. Simptom–simptom utama long Covid ialah seperti batuk, lemah, sesak nafas, keresahan, otak bercelaru dan sukar untuk tidur.  Kesan long Covid ialah walaupun seseorang sudah pulih dari jangkitan Covid-19 tetapi dia masih berasa sukar untuk meneruskan kehidupan secara optimum kerana masih wujudnya simptom-simptom ini.

“Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia telah mendapati kira-kira 20 peratus daripada 1,000 pesakit Covid-19 mengalami long Covid,” ujar Dr Sakinah lagi.

Ketika ditanya tentang imuniti kelompok, Dr Sakinah menegaskan yang Covid-19 bukan sama seperti penyakit berjangkit yang lain kerana virus ini bermutasi dengan pantas dan imuniti kelompok semata-mata tidak akan menamatkan pandemik ini.

“SOP masih perlu dipatuhi untuk sampai ke penghujung pandemik,” jelas Dr Sakinah.

Ketika ditanya sama ada Tiz memilih vaksin atau mengambil apa sahaja vaksin diberi, ujarnya: “Saya tidak akan tunggu sampai kita diberi pilihan. Saya ingin vaksinasi secepat mungkin kerana pengalaman sebagai pesakit Covid -19 amat perit.”

Dr Sakinah memuji keputusan Tiz kerana vaksin akan diberikan kepada seseorang selepas menilai profil kesihatan mereka melalui My Sejahtera. “Vaksin yang anda dapat adalah vaksin yang terbaik untuk anda.  Misalnya, terdapat beberapa vaksin yang sesuai untuk ibu mengandung dan menyusu. Suhu penyimpanan yang berlainan juga bererti ada vaksin yang susah dihantar ke penduduk luar bandar. Jadi ambillah vaksin yang diberi kepada kamu,” ujar Dr Sakinah.

Moderator juga bertanya kepada Tiz tentang temujanji vaksinasinya kerana sebagai pelakon jadual kerjanya tidak menentu dan bagaimanakah Tiz akan merancang temujanji vaksinasi jika ada kerja pada hari tersebut. Tiz berkata bahawa dia masih akan memberi kepentingan kepada vaksinasi dan merancang kerjanya selepas temujanji kerana dia hendak memastikan keselamatan semua orang.

Dalam sesi soal jawab bersama penonton, Dr Sakinah turut disoal tentang keberkesanan kaedah campuran dua vaksin daripada pengeluar yang berbeza. “Kaedah ini hanya dapat dilakukan selepas mengumpul data secara lebih terperinci kerana setiap vaksin mempunyai mekanisme tersendiri. Kita tidak perlu bimbang tentang ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) akan mengambil keputusan selepas menilai data daripada seluruh dunia,” terang Dr Sakinah.

Di kalangan penonton, ramai daripada mereka khuatir tentang profil kesihatan mereka seperti sakit jantung, kencing manis dan kanser. Dr Sakinah menjelaskan bahawa tiada kontraindikasi( situasi di mana sesuatu ubat tidak dapat digunakan untuk golongan tertentu kerana boleh berbahaya) untuk pesakit dan juga mereka yang mengambil rawatan tetapi beliau masih menasihati mereka untuk berjumpa dengan doktor untuk berbincang tentang kesesuaian vaksin. “Perdana Menteri Singapura juga merupakan bekas pesakit kanser tetapi beliau telah divaksinasikan pada Januari 2021,” kata Dr Sakinah.

Terdapat juga soalan tentang wanita yang mengandung, menyusu dan cuba mengandung. Dr Sakinah memberi jawapan yang sama yang vaksin yang sesuai akan diberi selepas menilai profil kesihatan mereka.

Moderator juga bertanya bagaimana dengan individu yang tidak hadir untuk temujanji dos kedua. “Badan kita akan mengambil 10 hingga 12 hari untuk menghasilkan antibodi selepas vaksinasi dos pertama dan antibodi tersebut hanya dapat memberi perlindungan 60-80%. Hanya selepas dos kedua,kita akan mendapat perlindungan yang optimum,” jelas Dr Sakinah.

Pesanan akhir dari kedua-dua panelis adalah,  “Fikir secara rasional, bertanggungjawab dan vaksinasikan diri anda,” kata Dr Sakinah.

“Jangan tunggu, ambillah vaksin yang sedia ada kerana menjadi pesakit Covid-19 adalah satu pengalaman yang sangat perit,”kata Tiz.

Webinar ini masih boleh ditonton di FB Sains Media Centre Malaysia.

Ikuti rakaman penuh webinar di sini: Derita Akibat COVID-19 – YouTube