Anda sanggup makan tahi? Amaran: bacaan 18 SG

0
3321

Pemindahan tinja

Anda mungkin biasa dengan istilah derma organ. Malah, anda mungkin salah seorang daripada penderma organ yang baik hati. Paling kurang, anda pernah menderma darah. Tetapi, jangan terkejut kerana para penyelidik pada masa kini sedang membangunkan satu kaedah rawatan yang dinamakan fecal microbiota transplantation (FMT) atau pemindahan tinja.

FMT adalah satu kaedah pemindahan  tinja (dan juga kandungan tinja) dari penderma yang sihat, di mana tinja tersebut dicampur dengan beberapa bahan pelarut seperti salina dan dipindahkan kepada pesakit melalui kolonoskopi, endoskopi, atau enema – memasukkan tinja melalui dubur.

Sebenarnya, projek FMT ini sudah mencapai tahap di mana tinja-tinja ini telah dikomersialkan dalam bentuk pil.

Harapan baru

Hakikatnya, tidak semua manusia di dunia ini bernasib baik. Malah ada antara kita yang bergelut dengan keradangan yang disebabkan oleh bakteria jahat bernama Clostridium defficile. Data menunjukkan jangkitan ini semakin meningkat dan menuntut angka kematian yang amat membimbangkan.

Sebenarnya, kaedah FMT ini bukanlah baru. Telah dicatatkan bahawa ilmu perubatan tradisional dari negara China telah lama mengamalkan kaedah yang mirip FMT ini. Pada waktu itu, “sup kuning” ini digunakan untuk merawat insiden jangkitan bakteria pada haiwan ternakan. Malah, terdapat juga amalan budaya beberapa masyarakat dunia yang mengamalkan memberi sedikit tinja ibu kepada bayi yang baru lahir sebagai langkah untuk meningkatkan ketahanan badan bayi yang baru lahir.

Sebenarnya, FMT membawa harapan yang besar kepada pesakit yang bergelut dengan masalah penghadaman dan juga auto-immune seperti Sindrom Usus Ringkih atau Irritable Bowel Syndrome, penyakit Crohn, kolitis dan lain lain lagi.

Geli

Anda mual dan tidak sanggup habiskan bacaan ini? Sabar, anda jangan muntah lagi. Jika anda pernah minum minuman kultur di pasaran seperti yogourt yang kaya dengan probiotik, saya boleh katakan bahawa konsepnya sama tapi tidak serupa. Kumpulan microbiome yang merupakan bakteria dari tinja ini sebenarnya boleh dibiakkan pada persekitaran makmal yang bersih dan selamat.

Bakteria ini kemudiannya boleh dipindahkan kepada media untuk dimakan. Sekumpulan saintis dari Universiti Copenhagen sedang membangunkan projek minigut, di mana mesin yang menyerupai perut manusia ini berfungsi untuk memeramkan makanan harian anda dengan kumpulan microbiome tertentu. Pada peringkat sekarang, produk yang diperam ini diuji pada tikus makmal sahaja.

Makanan yang diperam bukanlah najis* – selagi mana ia halal. Memeram bahan makanan bukan lah sesuatu yang menentang dengan mana-mana konsep penghasilan makanan. Dan bukan juga sesuatu yang baru. Orang-orang kita telah lama mengamalkan konsep ini. Jika tidak, anda mungkin tidak pernah jumpa tempoyak, budu dan belacan. Cencalok tidak dilupakan.

Artikel ini telah diterbitkan di https://rootofscience.com/blog/2017/umum/microbiome2/