Menuju ke arah merdeka daripada Covid-19

0
1484

OLEH SAARANI VENGADESEN

MERDEKA daripada Covid-19 adalah satu detik yang dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Walaupun program vaksinasi kebangsaan diperkasakan secara besar-besaran tetapi penularan varian Delta amat membimbangkan.

“Kita berada di antara perlumbaan vaksin dan virus”, kata Datuk Dr Christopher Lee, bekas Penasihat Kebangsaan Penyakit Berjangkit, dalam webinar “Merdeka daripada Covid-19”, anjuran Science Media Centre dan The Petri Dish baru-baru ini.  Webinar ini disokong oleh Duopharma Biotech Berhad, sebagai sebahagian daripada inisitiatif tanggungjawab sosial korporat mereka.

Program vaksinasi adalah harapan utama untuk menuju keluar dari kemelut pandemik ini.

Dr Lee menjelaskan bahawa pesakit Covid-19 dapat dikategorikan dalam lima kumpulan. Kategori pertama dan kedua adalah tidak bergejala atau hanya bergejala ringan. Kategori ketiga mempunyai radang paru-paru. Kategori keempat mempunyai radang paru-paru dan memerlukan oksigen manakala kategori kelima pula memerlukan bantuan pernafasan.

Kategori pesakit Covid-19 ditentukan mengikut tahap keseriusan pada hari mereka disahkan positif Covid-19.

Dr Lee menggesa orang ramai untuk melakukan ujian Covid-19 dengan segera jika mengalami simptom awal supaya rawatan boleh diberi sebelum jangkitan berlanjutan ke kategori yang parah.

Mengikut data kes jangkitan harian yang dikongsi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kebanyakan kes Covid-19 adalah dalam kategori satu hingga tiga susulan daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang terus diperkasakan dan kebanyakan kes dapat dikenal pasti di tahap awal ketika ujian saringan kata Dr Lee.

Ketika mengendalikan webinar tersebut, Dr Mahaletchumy Arujanan, Ketua Pengarang, The Petri Dish bertanya adakah kadar penggunaan alat bantuan pernafasan semakin berkurang di hospital susulan daripada 40% rakyat telah divaksinasikan.

Dr Lee membalas dengan merujuk situasi di Lembah Klang. Situasi di Lembah Klamg sangat kritikal dan membebankan kesihatan awam dua bulan lepas tetapi keadaan bertambah pulih kini susulan program vaksinasi yang diperkasakan.

Situasi di negara United Kingdom (UK) juga adalah mirip dengan situasi di Malaysia. Kes Covid-19 harian yang dicatatkan agak tinggi tetapi kemasukan hospital dan kadar kematian semakin berkurang. Keadaan ini membuktikan yang vaksin efektif dalam mengurangkan keseriusan tahap jangkitan.

“Kebanyakan kes yang dilaporkan kebelakangan ini adalah jangkitan ringan yang berupaya sembuh dan kebanyakan pesakit Covid-19 yang dimasukkan dalam hospital adalah yang belum divaksinasikan”, terang Dr Lee.

Dunia sedang dalam tempoh getir mendepani pandemik COVID-19 dengan penularan varian Delta. Presiden Amerika Syarikat berkata bahawa mereka sudah lama berupaya keluar dari pandemik ini jika varian Delta tidak muncul.

“Mutasi virus adalah seperti perlumbaan, varian baharu akan muncul jika virus merebak dengan pantas “, tegas pakar penyakit berjangkit tersebut.

Varian Delta memang mengurangkan sedikit keberkasanan vaksin  tetapi semua vaksin masih berkesan terhadap  jangkitan Covid-19 yang serius. Adalah tanggungjawab kita untuk menghalang virus daripada terus bermutasi kerana varian yang lebih ganas mungkin muncul.

“Jika vaksin menjadi kurang efektif akibat kemunculan varian baharu, situasi akan merangsang virus untuk bermutasi lebih cepat”, kata Dr Lee.

Salah seorang penonton webinar bertanya apakah perbezaan varian Delta dan varian Delta Plus. Dr Lee menjelaskan bahawa mutasi berlaku apabila struktur permukaan sesuatu virus yang dikenali sebagai “spike protein” berubah. Varian Delta Plus wujud apabila varian Delta bermutasi. Walaubagaimanapun, kadar mutasinya tidak tinggi untuk diklasifikasikan sebagai varian baharu.

“Kita tidak mahu menjadikan Delta Plus sebagai varian baharu”, gesa Dr Lee.

Beliau juga berkata varian Lamda yang berasal dari Peru lebih ganas dari Delta, tetapi belum menular di kebanyakan negara.

Moderator bertanya tentang perkembangan vaksin kanak-kanak dan adakah kanak-kank sedia untuk divaksinasikan.

Mengikut Dr Lee, setakat ini, hanya kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun dijangka akan diberikan vaksin Covid-19 menerusi fasa ke-5 Program Imunisasi Kebangsaan, khususnya bagi golongan yang mempunyai masalah kesihatan tertentu. Sementara itu, ujian klinikal masih sedang dijalankan terhadap kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

Beliau juga menekankan bahawa apabila pandemik bermula kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak amat rendah  tetapi keadaan terkini  telah berubah berkemungkinan akibat penularan varian Delta.

Dr Lee menggesa ibu bapa untuk mebawa anak-anak untuk vaksinasi supaya dapat melindungi mereka.

Seorang lagi penonton juga bertanya, selepas semua dewasa sudah lengkap vaksin adakah kanak-kanak akan menjadi mangsa jangkitan Covid-19?

Dr Lee, membalas yang imuniti kelompok akan melindungi kanak-kanak yang belum divaksinkan.

“Sebab itulah, amat penting ibu bapa, guru, pekerja restoran dan lain-lain divaksinkan.”, tekan Dr Lee.

Bagi soalan bolehkah seseorang individu mendapat jangkitan Covid-19 selepas vaksinasi, Dr Lee jawab bahawa seseorang yang telah divaksinkan boleh mendapat jangkitan Covid-19 tetapi kadar kebolehjangkitan kepada orang lain seperti kontak rapat akan menurun sebanyak 50% selepas beberapa hari berbanding individu yang tidak divaksin.

Imuniti selepas vaksinasi juga dibincangkan dalam sesi webinar ini.

Kajian menunjukkan vaksinasi hanya memberi perlindungan lapan bulan hingga setahun tetapi data masih belum dipastikan lagi. Beliau menekankan bahawa tiada vaksin yang memberikan perlindungan 100% untuk semua penyakit.

Bagi soalan berkaitan dengan dos penggalak (booster dose), beliau berkata bahawa untuk keadaan sekarang kita perlu sasarkan semua rakyat lengkap dua dos dahulu sebelum memulakan dos penggalak kerana masalah kekurangan bekalan vaksin.

Beliau berkata bahawa Amerika Syarikat sudah memulakan dos penggalak tetapi keutamaan diberi kepada golongan berisiko tinggi.

“Bagi Malaysia, kita boleh memberikan dos penggalak apabila semua orang sudah lengkap dua dos dan kita perlu memastikan bekalan vaksin yang secukupnya dahulu”, tambah Dr Lee.

 Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan untuk individu lengkap dua dos sebagai inisiatif untuk memulihkan ekonomi. Dr Lee menyarankan majikan untuk memastikan semua pekerja divaksinkan supaya orangramai berada di dalam gelembung yang selamat. Beliau juga mengesa majikan memberi perhatian kepada aspek pengudaraan di pejabat kerana varian Delta dapat merebak melalui udara.

Ramai orang masih ragu-ragu tentang penghasikan antibodi selepas vaksinasi. Adakah kita mempunyai antibodi yang secukup untuk melawan Covid-19?

Dr Lee mengulas bahawa terdapat banyak jenis antibodi dalan badan kita dan bukannya semua dapat dikesan oleh kit ujian antibodi. Ramai orang memberi perhatian kepada antibodi peneutralan tetapi  sel T dan sel memori juga amat penting untuk melawan Covid-19.

Food & Drug Administration (FDA) tidak menyarankan ujian antibodi selepas vaksinasi kerana tahap antibodi yang diperlukan untuk melawan Covid-19 belum ditentukan lagi dan masih dikaji. Tambahan lagi, setiap individu mempunyai respon berlainan terhadap vaksin.

Apabila ditanya tentang ujian pengesanan Covid-19, beliau berkata kit ujian reaksi rantai polimerase (PCR), ialah yang paling tepat untuk mengesan Covid-19. Walaubagaimanapun, setiap ujian mempunyai kebaikan dan kelemahannya. Ujian PCR juga berpotensi untuk menunjukkan keputusan negatif jika seseorang tergerak atau swab tidak dibuat dengan betul.   Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) juga boleh menunjukkan keputusan negatif kerana tiada ujian yang 100% tepat. Jika seseorang masih mempunyai simptom Covid-19 ujian perlu diulangi lagi.

“Pada pendapat saya, ujian RTK-Ag merupakan pilihan yang baik dalam pengesanan awal kes COVID-19 dan  individu  dapat memantau kesihatan, menilai risiko kendiri bagi mendapatkan rawatan kesihatan sebelum terlambat . Individu juga dapat memilih berapa kali mereka hendak melakukan ujian dan dapat kuarantin dengan segera jika dikesan positif”, ujar Dr Lee.

Bagi soalan bilakah pandemik akan ke tahap endemik, Dr Lee menjelaskan bahawa penyakit H1NI juga pernah diklasifikasikan sebagai pandemik pada tahun 2009 tetapi pada hari ini HINI di tahap endemik dan tidak mewujudkan banyak komplikasi. HINI masih berjangkit tetapi pada tahap yang rendah.

“Kita tiada cara lain untuk keluar dari pandemik ini kecuali vaksin dan mematuhi SOP sehingga ubat ditemui untuk penyakit ini”, ulas Dr Lee sebelum mengakhiri sesi webinar ini.