Vaksin atau Covid-19 yang manakah lebih mudarat?

0
1563

OLEH KALAIARASAN SANGKAR

Keadaan pandemik di Malaysia telah sampai ke tahap yang menggugat kapasiti hospital dan kakitangan kesihatan. Walaupun tiga jenis vaksin telah sampai di negara kita masih ramai yang sangsi terhadap keselamatan vaksin. Kejadian pembekuan darah dan kematian selepas suntikan vaksin yang berlaku di beberapa negara masih segar di minda rakyat dan menyebabkan penolakan vaksin di kalangan orang ramai.

“Suntikan vaksin bukanlah sesuatu yang baharu untuk kita. Vaksin meningococcal sebelum menunaikan haji dan umrah diambil tanpa sebarang keraguan,” kata Dr Masita Arip, Pakar Perubatan Patologi dari Institut Penyelidikan Perubatan.

Kenyataan Dr Masita disokong oleh Prof Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman, Pakar Perubatan dan Penyakit Berjangkit dari Universiti Malaya yang berkata, “Ini adalah kerana, objektif kita ialah untuk sampai ke tanah suci. Kita perlu mengubah cara pemikiran kita. Apa yang penting ketika ini ialah menghindari daripada jangkitan Covid-19 yang boleh membawa maut atau impak jangka masa lama”.

Kedua-dua pakar ini mengulas tentang kesan sampingan vaksin Covid-19 di Webinar “Vaksin vs Covid-19: Mana Lebih Mudarat?” anjuran bersama Science Media Centre (SMC) dan The Petri Dish yang disokong oleh Duopharma Biotech Berhad sebagai tanggungjawab korporat sosial mereka.

Dr Masita juga menjelaskan tentang persepsi vaksin di kalangan masyarakat yang menganggap ianya hanya untuk kanak-kanak. “Jadi apabila program vaksinasi secara besar-besaran diadakan untuk orang dewasa, ia menimbulkan pelbagai persoalan,” kata beliau.

“Orang ramai patut sedar bahawa kemudaratan dan risiko Covid-19 adalah jauh lebih teruk dari vaksin. Saya merawat pesakit Covid-19 dan ramai yang mengalami kesan jangka masa lama yang sukar dirawat,” kata Dr Adeeba.

Kedua-dua pakar yang telah menerima vaksin juga berkongsi pengalaman. “Selepas dos pertama, kesan sampingan yang saya alami hanya di tempat suntikan sahaja di mana saya rasa lenguh sedikit dan kesan ini hilang dalam masa 24 jam. Selepas dos kedua pula, kesan sampingan adalah lebih sedikit di mana saya berasa letih. Semua kesan sampingan ini hilang selepas 24 jam juga,” kata Dr Adeeba yang begitu yakin dengan vaksin.

Bagi Dr Masita pula, beliau cuma rasa sakit badan dan demam dan ianya hilang selepas mengambil paracetamol. Dr Adeeba menambah bahawa reaksi ini adalah sesuatu yang positif kerana ia bererti sistem imun kita bertindak untuk menghasilkan antibodi.

 “Tetapi ini tidak bermakna vaksin itu tidak berkesan jika kita tidak ada sebarang reaksi sebab badan setiap individu berlainan. Jadi jangan risau,” kata Dr Adeeba.

Datin Dr Mahaletchumy Arujanan, Ketua Pengarang The Petri Dish selaku moderator webinar bertanya tentang kes pembekuan darah selepas vaksinasi.

“Pembekuan darah ini merupakan kesan yang begitu jarang berlaku di mana hanya empat dalam satu juta orang akan mengalaminya di kalangan yang divaksinasi dengan vaksin tersebut,” terang Dr Masita merujuk kepada Laporan European Medicine Agency dan Kenyataan National Health Service England.

Dr Masita mengingatkan sesiapa yang menerima vaksin yang mempunyai risiko pembekuan darah supaya berjaga-jaga apabila ada simptom-simptom sesak nafas, sakit dada, kaki bengkak, pandangan kabur, tompokan halus merah pada kulit di kawasan suntikan, sakit perut serta sakit kepala yang kuat dan agak lama. Kejadian ini adalah hasil tindak balas imuniti seseorang individu terhadap sel darah platelet yang penting untuk sistem pembekuan darah.

“Sebenarnya risiko ini lebih tinggi untuk pesakit Covid-19 di mana kita lihat 16.5 peratus pesakit mengalaminya,” kata Dr Adeeba.

Dr Masita turut berkongsi kajian yang dijalankan di Scotland di mana kadar kemasukan ke hospital dapat diturunkan sebanyak 90 peratus selepas lebih sejuta orang divaksinasikan. Ini menunjukkan keberkesanan vaksin untuk mengurangkan risiko Covid-19 amat memuaskan.

Dr Mahaletchumy seterusnya mengutarakan isu petugas barisan hadapan yang mendapat jangkitan Covid-19 walaupun sudah divaksinkan.

“Tiada ubat yang boleh memberi perlindungan 100 peratus,” kata Dr Adeeba.

“Vaksin hanya memberi perlindungan maksima sebanyak 95 peratus, bererti kemungkinan kita dijangkiti Covid-19 tetapi kesannya tidak akan seteruk orang yang tidak divaksin. Vaksin boleh mengurangkan keperluan tinggal di hospital dan kemudaratan penyakit ini. Mungkin kita akan hanya demam sedikit,” kata Dr Masita.

Apabila ditanya tentang keberkesanan vaksin terhadap varian-varian baru, Dr Masita berkata bahawa antibodi yang dihasilkan oleh vaksin ini adalah spesifik terhadap virus Covid-19 yang ada sekarang. Mutasi selalunya menukar spike protein. Jika mutasi itu tidak begitu ketara, vaksin ini masih akan berkesan. Tetapi untuk varian yang jauh berbeza, vaksin ini berupaya mengurangkan komplikasi Covid-19. Jadi, apa-apa pun ambillah vaksin yang sedia ada.

Dr Mahaletchumy juga bertanyakan tentang kanak-kanak bawah umur 18 tahun yang tidak boleh divaksin, bagaimanakah mereka boleh dilindungi?

 “Jika kita mencapai imuniti kelompok, mereka yang tidak boleh menerima vaksin boleh dilindungi. Virus ini tidak akan merebak seperti sekarang dan rantaian ini boleh diputuskan,” kata Dr Adeeba.

“Ini amat penting kerana kita perlu memastikan virus ini juga tidak menukar bentuk melalui mutasi. Hanya imuniti kelompok boleh memastikan ini,” kata Dr Masita.

Soalan yang hangat telah dilontarkan kepada panel bahawa adakah Covid-19 dapat ditamatkan sama seperti jangkitan cacar air ataupun small pox yang ditamatkan pada 1979 melalui vaksinasi. “Inilah yang kita semua doakan tetapi malangnya, virus Covid-19 mudah bermutasi dan bertukar kod genetiknya. Ia hanya dapat dikurangkan melalui imuniti kelompok,” kata Dr Adeeba.

Dr Adeeba menerangkan penghasilan vaksin dalam jangka masa yang begitu singkat,

 “Ini adalah kerana sumbangan dana yang mencukupi, kerjasama di antara saintis-saintis di seluruh dunia dan terdapatnya ramai sukarelawan untuk kajian klinikal,” kata beliau.

Untuk persoalan daripada penonton mengenai pemilihan vaksin, Dr Masita berkata program vaksinasi adalah berfasa dan semuanya akan ditetapkan oleh kementerian kesihatan. Vaksin yang dibawa masuk dan diluluskan oleh KKM adalah semuanya berkualiti. Oleh itu, rakyat perlu rela menerima vaksin yang ditetapkan untuk mereka.

“Saya melihat rakan-rakan sekerja di Hospital Universiti Malaya yang terlibat dalam program vaksinasi. Ini merupakan suatu program yang sangat kompleks. temujanji, tahap kesihatan, jenis vaksin dan berbagai-bagai faktor lain perlu dipertimbangkan. Pemilihan vaksin oleh orang ramai akan menimbulkan lebih banyak masalah dan melambatkan proses ini,” kata Dr Adeeba.

Seorang lagi penonton bertanya tentang keselamatan vaksin untuk pesakit yang melalui dialisis buah pinggang.

“Mereka patut mendapatkan vaksin secepat mungkin kerana risiko Covid-19 amat tinggi untuk pesakit-pesakit ini,” terang Dr Adeeba.

Webinar yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran tentang pentingnya vaksin Covid-19 ini berakhir dengan mesej kedua-dua pakar.

“Harapan saya ialah program vaksinasi Covid-19 ini dapat memastikan imuniti kelompok secepat mungkin,” kata Dr Masita. Beliau juga mengingatkan vaksin dapat mengurangkan kadar jangkitan Covid-19, kadar kemasukan ke ICU, dan kematian.

“Tolonglah hindari diri dari tempat-tempat yang sesak. Jangan berkenduri-kendara sekarang. Barisan hadapan kesihatan kita sekarang amat penat dan kesesakan di hospital mengakibatkan kematian yang disebabkan oleh penyakit lain kerana orang ramai takut untuk ke hospital,” kata Dr Adeeba.

Ikuti rakaman penuh webinar di sini.