Vaksin Jalan Penyelesaian Pandemik

0
1920

OLEH KALAIARASAN SANGKAR

VAKSIN Covid -19 yang paling dinantikan selama ini sudah tiba dan rakyat Malaysia yang memikul peranan sebagai barisan hadapan sudah pun mula menerima suntikan vaksin. Namun, masih banyak kekeliruan dan kesangsian tentang keberkesanan vaksin menular dalam kalangan orang ramai.

“Orang ramai tidak perlu risau berapa efektif atau selamat vaksin yang dicipta dalam tempoh masa yang singkat kerana kita disuntik pelbagai jenis vaksin sejak lahir dan vaksin bukan sesuatu yang baharu tetapi wujud dari 100 tahun yang lalu”, kata Prof Dr Norazmi Mohd Nor, Pakar Imunologi dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM di webinar Kenali Vaksin Covid-19 baru-baru ini.

Webinar ini merupakan salah satu inisiatif Kempen YAKINIVAKSIN yang dilancarkan oleh Science Media Centre (SMC), The Petri Dish dan disokong oleh Duopharma Biotech. Duopharma Biotech melihat Kempen YAKINIVAKSIN ini sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk menerima vaksin Covid-19 dan meningkatkan permahaman rakyat tentang vaksin Covid-19.

Sesi yang diadakan secara langsung dalam Facebook Live SMC dikendalikan oleh Dr Mahaletchumy Arujanan sebagai moderator yang juga merupakan Ketua Pengarang The Petri Dish.

Seorang lagi pakar kesihatan awam yang turut menyertai webinar ini ialah Prof Madya Dr Malina Osman dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Imunologi atau Imuniti, perkataan ini amatlah hangat pada norma baharu ini.

“Imuniti adalah pertahanan atau perlindungan terhadap sejenis penyakit. Dalam konteks ini,imuniti terhadap Covid-19”, kata Dr Norazmi secara ringkasnya. Vaksin yang direka cipta untuk Covid-19 secara khas telah dikaji dan dibuktikan bahawa vaksin tersebut dapat mempertahankan seseorang daripada Covid-19.

“Vaksin ini diperbuat daripada bahan yang diambil daripada kuman tersebut sama ada kuman itu sendiri yang telah dinyah aktif atau bahan yang menyerupai kuman tersebut”, kata Dr Norazmi. Secara saintifiknya, bahan tersebut yang menentukan kandungan vaksin itu ditakrifkan sebagai antigen.

Terma saintifik mRNA sudah diiktiraf sebagai perkataan Inggeris ketika pandemik ini. Bagi orang ramai yang masih keliru akan jenis-jenis vaksin Covid-19. Dr Malina menerangkan bahawa berdasarkan teknologi pembuatannya, Covid-19 mempunyai empat jenis vaksin yang dikatakan viral vector, mRNA, kuman yang dilemahkan dan subunit protein.

“Apakah tujuan kerajaan Malaysia mengimport 4 jenis vaksin yang berbeza isi kandungan antigennya dari negara-negara berlainan?”, bertanya moderator kepada panel.

“Usaha kerajaan dalam proses pemvaksinan untuk mencapai imuniti kelompok akan terjejas jika terdapat masalah hubungan diplomatik dengan pembekal. Pada pandangan saya, pendekatan yang kerajaan ambil untuk tidak bergantung pada satu pembekal sahaja adalah sangat bertepatan”, kata Dr Malina.

“Orang ramai juga perlu mengetahui langkah-langkah keselamatan selepas vaksinasi dan tidak alpa terhadap SOP hanya kerana vaksin telah diterima,” kata Dr Mahaletchumy. SOP yang ditetapkan masih perlu dipatuh untuk memastikan pandemik ini tamat.

Walaupun vaksin tersebut telah melalui beberapa fasa kajian klinikal sebelum suntikan, pihak kawal selia vaksin akan terus memantau serta memastikan bahawa vaksin ini masih selamat dan berkesan di Fasa 4. Jika terdapat orang yang mendakwa bahawa vaksin tertentu menyebabkan sesuatu penyakit atau membawa mudarat, vaksin tersebut akan diberhentikan dengan segera untuk kajian Fasa 4.

“Setelah dikaji, 450 juta orang telah divaksinkan dan mujurlah tiada lagi kes kematian kerana vaksin. Jika mereka dijangkiti Covid-19 pun tahap keterukannya adalah amat rendah”, kata Dr Norazmi.

“Kesan sampingan ini adalah simptom yang diperolehi berikutan pemberian vaksin. Vaksin-vaksin yang lain sebelum ini pun telah dokumentasikan kesan-kesan sampingan yang ringan”, kata Dr Malina yang mengingatkan bahawa manfaat daripada vaksin Covid-19 yang diluluskan jauh lebih besar berbanding risikonya. Antara kesan sampingan yang didokumentasikan adalah lenguh di bahagian suntikan, sakit badan, sedikit demam, sakit kepala, badan letih, diarrhea, dan bengkak di bahagian kelenjar leher.

Dr Malina telah menjelaskan terma kontra indikasi secara ringkas dalam sesi ini.“Kontra indikasi merujuk kepada golongan yang tidak dicadangkan untuk divaksinasikan seperti individu yang mengalami masalah imuniti sejak kecil lagi dan masalah alahan yang teruk”, kata Dr Malina. Individu yang memasuki golongan kontra indikasi akan dikenal pasti oleh pakar-pakar perubatan semasa saringan kesihatan. Dr Malina berkata bahawa majoriti rakyat selamat divaksinkan kecuali golongan kontra indikasi berdasarkan laporan perubatan yang didokumentasikan.

Terma komorbiditi menerangkan penyakit-penyakit sedia ada pada individu seperti diabetes, hypertension, dan kanser.

“Kebanyakan individu yang melalui kajian klinikal Fasa 3 adalah individu yang sihat dan bebas komorbiditi”, kata Dr Malina. Beliau menasihati supaya vaksinasi dalam kalangan pesakit kanser ditangguhkan terlebih dahulu sehingga lah data sedia ada memastikan vaksin ini selamat bagi mereka.

 Dr Norazmi telah menekankan bahawa golongan barisan hadapan, golongan komorbiditi dan warga emas adalah sasaran utama kerajaan untuk dilindungi dengan vaksin.

“Kerajaan telah menentukan beberapa fasa untuk vaksinasi. Oleh sebab, jumlah vaksin yang sedia ada adalah terhad, maka vaksinasi perlu diberikan kepada golongan yang paling memerlukan”, jelas Dr Norazmi.

Oleh sebab ujian klinikal Fasa 3 hanya dilakukan terhadap dewasa berusia 18 tahun ke atas buat masa ini tiada data yang dapat menyokong pemberian vaksin kepada kanak-kanak di bawah usia ini.

“Walaupun begitu, terdapat syarikat yang tampil ke hadapan untuk menerbitkan data yang wajar bagi kanak-kanak kurang 18 tahun bersama pihak kawal selia vaksin”, kata Dr Norazmi.

 “Selepas vaksin dihasilkan di makmal proses penulenan masih dilakukan sebelum disuntik dalam badan seseorang individu”, kata Dr Malina. Beliau bandingkan bekalan air bersih di rumah kita yang juga dihasilkan menerusi proses penulenan walaupun air tersebut diperoleh dari sungai.

 “Sebagai seorang saintis muslim, saya tidak ada kesangsian terhadap kandungan vaksin tersebut sebab bagi saya vaksin itu halal”, kata Dr Norazmi.

“Imuniti kelompok ini memang penting untuk melindungi terutamanya anak-anak kecil yang tidak boleh divaksinkan”, ujar Dr Mahaletchumy.

Penonton bertanya kemusykilan mereka adakah pendermaan darah dibenarkan selepas vaksinasi, Dr Malina memberi semangat untuk meneruskan amalan terpuji tersebut tetapi menasihatkan untuk rehat secukupnya supaya rasa sengal sakit badan hilang terlebih dahulu.

Persoalan daripada penonton mengenai dos vaksin dikemukakan kepada Dr Norazmi.

 “Setakat ini semua orang menerima dos yang sama tak kira tahap imuniti seseorang, umur atau sejarah penyakit”, jawab Dr Norazmi.

Pada akhir webinar ini, Dr Mahaletchumy, bertanya pesanan terakhir untuk rakyat Malaysia daripada kedua-dua pakar. “Kita tiada cara lain selain dari vaksin untuk mengakhiri wabak yang kita melalui lebih setahun ini”, kata Dr Malina. Beliau menasihatkan semua yang layak supaya berdaftar dengan ‘My Sejahtera’ untuk mendapatkan dos vaksin masing-masing.

Dr Norazmi turut menasihatkan orang ramai untuk berdaftar dengan ‘My Sejahtera’. “Sekarang tahap pendaftaran ‘My Sejahtera’ adalah hanya 26%. Kalau kita hendak mencapai imuniti kelompok tahap ini perlu ditingkatkan sehingga 80%”, beliau berkata.

“Berbagai-bagai terminologi yang baharu dapat dikupas melalui webinar ini. Kita sudah pasti yang vaksin ini selamat dan berkesan menerusi webinar ini”, kata Dr Mahaletchumy.

Webinar ini masih boleh ditonton di FB Sains Media Centre Malaysia.

Ikuti rakaman penuh webinar di sini: Kenali Vaksin COVID-19 – YouTube