Apakah penyakit tangan, kaki dan mulut atau HFMD?
HFMD adalah penyakit yang disebabkan oleh enterovirus. Dua jenis virus utama penyebabnya adalah Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus-71 (EV71).
Siapakah yang berisiko mendapat jangkitan HFMD?
Sesiapa sahaja pada semua peringkat umur boleh mendapat jangkitan HFMD tetapi golongan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun mudah mendapat jangkitan. 90% kes HFMD berlaku pada kanak-kanak berumur lima tahun dan ke bawah.
Apakah tanda dan gejala HFMD?
Antara tanda penyakit HFMD adalah seperti berikut:
Demam ringan
Kurang selera makan
Luka atau ulser di mulut
Ruam merah di tapak tangan, lutut, siku dan kaki. Ruam merah ini biasanya tidak menyebabkan kegatalan.
Lepuh (blister) di kawasan ruam
Badan kering atau dehidrasi akibat kurang selera makan dan minum
Keletihan dan tidak bermaya
Tidak semua kanak-kanak yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami tanda dan gejala yang sama. Sesetengah kanak-kanak mungkin hanya mengalami ruam merah atau lepuh pada kulit atau luka pada mulut. Sebilangan kanak-kanak lain mungkin dijangkiti tanpa kehadiran sebarang tanda atau gejala.
Bagaimana HFMD berjangkit?
Virus akan tersebar daripada pesakit kepada orang lain (khususnya kanak-kanak) melalui:
Batuk atau bersin
Hubungan rapat contohnya bermain
Berlaku sentuhan dengan cecair lepuhan atau najis pesakit
Perkongsian peralatan makanan seperti sudu, garpu atau peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan berus gigi
Bersentuhan dengan permukaan atau barang yang telah dijangkiti virus seperti pemegang pintu tandas.
Pesakit boleh menyebarkan virus dalam tempoh seminggu mereka mengalami gejala dan tanda-tanda penyakit HFMD.
Berapa lama enterovirus boleh hidup di permukaan?
Enterovirus boleh hidup beberapa hari atas permukaan dalam suhu bilik. EV71 adalah virus tanpa selaput, maka ianya amat sukar untuk dimusnahkan oleh suhu persekitaran biasa.
Kajian menunjukkan virus EV71 di atas permukaan plastik yang didedahkan kepada persekitaran panas dan lembap masih berupaya menyebabkan penyakit dalam masa 3 hari.
Bagaimana penyakit HFMD dirawat?
Rawatan bagi penyakit ini adalah berdasarkan tanda dan gejala yang berlaku.
Tiada ubatan atau rawatan khusus untuk membunuh virus penyakit ini. Rawatan diberi bagi mengurangkan suhu badan akibat demam dan kesakitan pada mulut sahaja. Amat penting kanak-kanak yang dijangkiti penyakit HFMD diberikan minuman secara berterusan untuk mengelakkan dehidrasi. Jangkitan penyakit ini selalunya sembuh dengan sendiri dalam tempoh 7-10 hari apabila ketahanan atau imuniti tubuh terbentuk.
Bagaimana langkah menguruskan pesakit HFMD di rumah?
Pesakit hendaklah mendapat rehat yang secukupnya;
Diberi rawatan perubatan sebagai mana dinasihatkan untuk mengurangkan demam dan sakit mulut; galakkan pesakit meminum air dan mengambil makanan dan minuman kegemaran mereka; dan buat pemantauan rapi bagi mengenalpasti tanda dan gejala yang serius seperti kekeringan atau dehidrasi badan dan keletihan yang teruk.
Adakah penyakit tangan, kaki dan mulut boleh memudaratkan?
HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan ianya akan sembuh dengan sendiri.
Namun begitu, segelintir pesakit HFMD yang disebabkan oleh jangkitan virus EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung.
Bagaimana HFMD dikenalpasti atau didiagnosa?
KKM mempunyai kemudahan untuk melakukan ujian ke atas virus penyakit ini, namun pesakit HFMD didiagnosa melalui kewujudan gejalan dan tanda klinikal penyakit HFMD. Ujian makmal kebiasaannya tidak diperlukan.
Bolehkah seorang mendapat penyakit HFMD semula?
Ya. Seperti selesema, bayi anda akan kebal kepada virus yang sudah menjangkitinya namun, masih banyak lagi virus penyakit tangan, kaki dan mulut.
Adakah penyakit HFMD memberi kesan kepada wanita hamil?
Ya, risiko jangkitan perempuan mengandung adalah sama seperti orang dewasa yang lain. Sehingga kini, tiada kajian menunjukkan kesan kepada bayi dalam kandungan.
Namun, sekiranya ibu mendapat jangkitan HFMD sekitar minggu terakhir mengandung dan kelahiran, terdapat risiko anak yang dilahirkan akan mendapat jangkitan penyakit HFMD.