Lebih separuh rakyat Malaysia tidak mempunyai pengetahuan asas tentang vaksin COVID-19

0
107

Rakyat Malaysia bakal menerima vaksin COVID-19 seawal hujung bulan ini. Namun masih banyak pertanyaan tentang isu keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19. Maklumat palsu mengenai vaksin yang sering dikongsikan di media sosial serta usaha gerakan anti-vaksin juga telah menimbulkan kesangsian dan kekeliruan dalam kalangan orang awam, sekaligus berisiko merencatkan usaha membanteras pandemik COVID-19 ini.

Hasil kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik daripada  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini mendedahkan bahawa hanya 43% daripada responden kajian mempunyai pengetahuan asas yang baik  tentang vaksin COVID-19. Kajian yang melibatkan 1,406 responden itu bertujuan untuk mengetahui sejauh mana tahap penerimaan dan pemahaman rakyat Malaysia tentang vaksin COVID-19.

Daripada jumlah responden itu, didapati 65% setuju untuk mengambil vaksin dan majoriti responden percaya bahawa vaksin boleh melindungi mereka daripada jangkitan. Hanya 33% merasakan bahawa vaksin COVID-19 mungkin tidak berkesan. Lebih separuh bilangan responden risau tentang kandungan vaksin.

“Antara sebab yang menjadi penghalang penerimaan vaksin ialah proses penghasilan vaksin yang sangat pantas, status halal vaksin, kesan jangka panjang dan juga negara pengeluar vaksin.”

“Ramai yang skeptikal dengan vaksin yang dikeluarkan oleh negara China. Mereka lebih percayakan vaksin keluaran negara Barat,” kata Pakar Mikrobiologi Klinikal, Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, USIM, Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed dalam sesi webinar bertajuk “Takut Dengan Vaksin COVID-19” yang diianjurkan bersama oleh USIM and Science Media Centre Malaysia baru-baru ini.

Tujuan webinar itu diadakan adalah untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan tentang vaksin COVID-19 selain merungkai mitos dan fakta palsu  berkenaan dengan vaksin COVID-19. Sesi yang diadakan secara langsung dalam Facebook Live SMC dikendalikan oleh moderator iaitu pengasas bersama SMC, Dr Mahaletchumy Arujanan yang juga merupakan Ketua Pengarang The Petri Dish, iaitu surat khabar sains pertama di Malaysia. Seorang lagi pakar virologi yang turut menjawab soalan-soalan ialah Prof Datin Dr Che Ilina Che Isahak juga dari Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, USIM.

Webinar in telah mengupas isu-isu hangat yang dipertengahkan oleh orang ramai di laman sosial seperti keselamatan vaksin kerana jangka masa singkat yang diambil untuk menghasilkannya,status halal vaksin, kesan sampingan dan kesesuaian vaksin untuk golongan pesakit kritikal.

“Jenis-jenis vaksin bergantung kepada kepakaran dan fasiliti yang sedia. Walaupun vaksin dihasilkan dengan pelbagai kaedah tujuannya adalah tetap sama untuk memerangi Covid-19. Pelbagai jenis vaksin dihasilkan memberi peluang kepada negara untuk memilih vaksin yang sesuai bergantung kepada penduduk”, kata Dr Nurul.

“Kita perlu ingat di sini bahawa manfaat daripada vaksin Covid-19 yang diluluskan jauh lebih besar berbanding risikonya”, ujar Dr Mahaletchumy.

“Kempen kesederan awam vaksin amat penting untuk memastikan pandemik ini tamat. Orang ramai juga perlu mengetahui langkah-langkah keselamatan selepas vaksinasi dan tidak alpa terhadap SOP hanya kerana vaksin telah diterima,” kata Dr Mahaletchumy, pakar komunikasi sains.

Webinar ini masih boleh ditonton di FB Sains Media Centre Malaysia.

Ikuti rakaman penuh webinar di sini: https://www.youtube.com/watch?v=oco39mPbfcE