Sabun dan air sangat penting apabila kita mencuci tangan. Sejak pertengahan abad ke-18, amalan mencuci tangan telah diberi kepentingan sebelum melakukan prosedur perubatan. Pada zaman sekarang terutamanya ketika pandemik Covid-19, kita bukan sahaja perlu mencuci tangan apabila tangan kelihatan kotor, sebelum makan dan selepas menggunakan tandas, tetapi sekerap mungkin bila kita berada di tempat awam. Ini adalah kerana mencuci tangan di air yang mengalir dapat membantu membunuh kuman atau menghilangkan kuman yang melekat di tangan, termasuk virus Covid-19. Kita perlu mencuci tangan untuk 20 saat supaya kuman dapat dinyakaktifkan. Teknik untuk mengira masa 20 saat ialah menyanyi lagu hari jadi dua kali sambil mencuci tangan. Kuman melekit di tangan kita kerana kulit mempunyai sebum dan minyak. Molekul sabun merupakan rantaian panjang yang terdiri daripada karbon dan hidrogen. Rantaian tersebut mempunyai dua hujung dan setiap hujung mempunyai sifat berlainan. Satu hujung bersifat hidrofobik (tidak suka air dan akan gabung dengan molekul minyak) manakala satu lagi hujung bersifat hidrofilik (tidak suka minyak dan akan gabung dengan molekul air). Kuman yang melekat dengan molekul minyak akan bergabung di hujung hidrofobik. Hujung hidrofilik pula akan menolak molekul minyak ke arah air untuk dicuci dari permukaan tangan. Virus terdiri dari molekul protein and lemak and sabun dapat memecahkan molekul-molekul ini seperti mana pinggan berminyak menjadi bersih. Oleh itu mencuci tangan kerap menggunakan sabun dan air merupakan tindakan paling berkesan untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.
Online Subscription